Penafian/ Disclaimer

Segala tulisan di dalam blog PEMUDAPSJAUNA ini adalah pandangan dan pendapat PSJAUNA secara peribadi dan PSJAUNA tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruh sesiapa. Sebarang tulisan yang didapati ada persamaan adalah secara kebetulan melainkan dinyatakan merujuk kepada mana-mana artikel tertentu. Sebarang rujukan dalam penulisan di blog ini adalah dari bahan-bahan dan sumber-sumber yang diluluskan undang-undang. Sebarang pertikaian terhadap tulisan di blog ini maka sumber dan rujukan asal akan dirujuk, PSJAUNA tidak akan dipertanggungjawabkan.

Terima kasih

Monday, December 14, 2009

MEMPERKASA REMAJA MENCAPAI WAWASAN NEGARA

















Semua pencapaian negara yang membanggakan kita pada hari ini, bakal diwariskan kepada generasi muda. Untuk itu, mereka bukan sahaja perlukan kemampuan dan keupayaan yang setanding dengan barisan kepimpinan masakini, malah mereka perlu lebih kreatif dan inovatif sesuai dengan kebangkitan ‘Gelombang ke-Tiga’ - Third Wave. Era globalisasi di mana dunia seolah-olah sebuah ‘kampung’ tanpa sempadan pemikiran, borderless mind, bakal menawarkan peluang yang melimpah-ruah, sekaligus ancaman-ancaman getir pada keutuhan bangsa. Kita mesti segera merebut peluang.

Kita juga mesti bersiap-sedia berdepan dengan ancaman. Kita sekali-kali tidak boleh mengalah, ataupun diserang fobia komputer di era Teknologi Maklumat (IT) yang berkembang begitu pantas. Sebaliknya, kita mesti bijak menghadapi perkembangan ini berbekalkan ilmu dan iman, lantas bertindak selaras dengan prinsip amar makruf dan nahi mungkar. Firman Allah:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan di kalangan manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.”

Pemimpin dan matang pemimpin kita terutamanya Y.A.B Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, telah menggariskan hala-tuju negara dengan menjana minda dan keyakinan rakyat untuk berdepan dengan 11 cabaran yang telah digariskan. Malaysia, walaupun sebuah negara yang kecil dalam peta dunia, tetapi suara dan pengaruhnya semakin dominan di peringkat antarabangsa kerana keberanian dan ketajaman pemikiran Perdana Menteri. Soalnya, mampukah kita, khususnya generasi muda menterjemahkan wawasan 2020 seterusnya menyambung kecemerlangan itu? Sejauh manakah belia telah melakukan anjakan paradigma untuk meraih kejayaan di bidang teknologi komputer dan telekomunikasi? Apakah mereka mampu mengisi peluang yang pastinya terbuka? Atau peluang itu akan terbiar begitu sahaja lalu kita terpaksa berputih mata?

Justeru itu, generasi muda mestilah mula dipersiapkan dan disusun untuk membina satu modus-operandii dan network yang ampuh dan menyeluruh. Marilah kita mengutip iktibar dari sirah Nabi Muhammad SAW, khususnya, bagimana baginda menyusun aset tenaga para pemudanya untuk memertabatkan Islam. Pemuda-pemuda yang dididik di bawah naungan Al Quran dan Sunnah itu telah membuktikan keberanian dan keunggulan peribadi yang mampu menumbangkan Rom dan Parsi - Super Power ketika itu. Pemuda pada zaman Rasulullah SAW punya kecemerlangan yang tersendiri. Dari segi ilmu, lahirlah intelek seperti Sayidina Ali - kunci khazanah ilmu. Di bidang ekonomi, Abdul Rahman bin Auf - buisnessman ternama. Di bidang ketenteraan, Usamah bin Zaid - Jeneral yang strategis. Di bidang sastra, Ziad bin Tsabit - sastrawan Islam yang berjuang melalui mata pena. Begitulah di bidang-bidang yang lain, semuanya terdiri daripada pemuda yang telah digroom sendiri oleh Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, baginda telah berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis dari kalangan belia yang kemudiannya barisan itulah yang berjaya membina keagungan Islam hingga ke tahap empayar di zaman Umayyah dan Abassiah. Ini membuktikan betapa Rasulullah SAW begitu komited dalam program pembinaan generasi belia.

Walaupun begitu, di sebalik harapan dan cita-cita yang menggunung tinggi terhadap para belia, kita tidak seharusnya menutup mata kepada perancangan musuh untuk menghancurkan mereka. Proses Hegemoni budaya terutamanya yang dipopularkan oleh Amerika dan Barat, sedikit-sebanyak telah ‘menjerebukan’ keperibadian para remaja masakini. Identiti Islam dan jati diri bangsa kita telah dihakis dari semasa ke semasa. Dengan data dan fakta paling mutakhir, kita boleh membayangkan ujian-ujian yang lebih getir pada masa akan datang. Ancaman yang datang dari pelbagai dimensi ini jika tidak ditangkis dengan cepat dan tepat boleh meranapkan kembali rekod pencapaian kita yang baik.

Di bidang ekonomi misalnya, seorang Yahudi - George Soros, telah ‘menyerang’ pasaran saham negara dengan apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai ‘penjajahan ekonomi’. Dari dimensi sosial dan budaya, proses Americanization telah menyebabkan sebahagian generasi muda kita hilang identiti sebagai seorang Islam dan Melayu yang bermaruah tinggi. Tidak mustahil ancaman akan terus berlaku menerusi bidang-bidang yang lain pula. Dan boleh jadi ancaman pada masa akan datang akan lebih besar dan dahsyat. Menyedari hakikat inilah, kerajaan komited untuk melahirkan generasi beriman, bertaqwa dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian. Sesungguhnya, para remajalah benteng ketahanan ummah untuk mempertahankan maruah bangsa dan negara sesuai dengan madah pujangga, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Usaha kearah tercapainya wawasan 2020 yang digerakkan oleh Y.A.B Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, tidak akan menanti mereka yang terlambat… Cara terbaik meramal masa depan adalah bekerja keras untuk merealisasikan ramalan itu. Negara akan terus bergerak ke hadapan dan kita tidak ada pilihan lain kecuali bergerak bersama. Kita tidak mahu, ketika pemimpin meraih kejayaan demi kejayaan di peringkat antarabangsa, para belia kecundang dari dalam, yang mana akhirnya kejayaan itu musnah semula apabila amanah kepimpinan ini terserah kepada mereka.

Untuk menjadi sebuah negara maju dengan terus mengekalkan nilai-nilai murni adalah satu cabaran terbesar menjelang abad ke - 21. Ketika satu demi satu negara maju di Barat seperti Amerika, atau di Timur seperti Jepun, sedang digugat oleh masalah-masalah sosial yang tenat, kita tetap yakin Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju tanpa mengorbankan nilai agama dan bangsa. Untuk mengelakkan tragedi yang serupa tidak menimpa kita, Malaysia mesti menjadi negara maju dengan acuan sendiri. Hal ini tentunya menagih bukan sekadar slogan atau teori, tetapi memerlukan satu pelan-tindak yang jelas ke arah peneguhan nilai-nilai dan sumber dalaman rakyat.

Kita mesti bertindak segera justeru perkembangan mutakhir menunjukkan kadar gejala sosial di kalangan remaja masih membimbangkan. Walau apapun, kita tidak seharusnya pesimis jauh sekali menyerah kalah dengan perkembangan negatif itu. Apa yang lebih penting ialah merancang tindakan berkesan untuk mengatasinya. Lebih praktikal, jika perkembangan itu dilihat sebagai satu amaran awal agar semua pihak samada individu atau kumpulan, kerajaan atau swasta, lebih prihatin dan komited terhadap langkah-langkah pencegahan. Jangan terlalu panik dan bimbang, hingga menumpulkan daya juang untuk menyelesaikan masalah. Tetapi jangan pula terlalu leka, hingga masalah membarah lalu memusnahkan segala-galanya.

Kita akan terus berusaha untuk mencapai satu perimbangan yang stabil diantara pembangunan material dan spiritual. Kita akan terus berusaha bagi memastikan para belia mencapai kecemerlangan hidup tanpa dijejaskan oleh kesan sampingan arus pembangunan. Para belia mesti diperkasakan untuk mengharungi cabaran-cabaran terkini.

Para belia harus digalakkan untuk menggunakan sumbernya sendiri dan bukan menyelesaikan masalah secara spoon feeding, sesuai dengan para remaja yang kebetulan mempunyai sumber diri yang masih segar, bertenaga dan belum diterokai. Mereka mesti dibantu individu bagi memahami dirinya sendiri dan memperkembangkan potensi-potensi yang ada padanya supaya berkemampuan mengendalikan kehidupan dengan berkesan. Remaja pula berada di satu tahap pertumbuhan fizikal, emosi, mental, sosial dan moral yang bukan sahaja baru kepada individu disekeliling mereka, malah baru kepada diri mereka sendiri. Pada tahap ini kaunseling adalah kaedah yang paling tepat untuk membantu para remaja meneroka diri mereka sendiri. Tegasnya para remaja perlu dibantu untuk membantu diri mereka sendiri!

Tidak syak lagi, pemantapan iman adalah pendekatan yang paling berkesan untuk membantu para remaja yang dilanda konflik identiti hingga terbentuknya sifat tidak jelas - ononymous - dalam jiwa mereka. Kecelaruan jiwa inilah yang akan mendedahkan mereka kepada pelbagai gejala negatif. Pada situasi seperti itu remaja perlukan seorang pembimbing yang mampu berhubung secara harmoni untuk menerangkan dan menganalisa sifat positif dan negatif dalam dirinya itu, seterusnya memberi bimbingan untuk memperbaikinya.

Pembimbing yang dimaksudkan bukanlah sebarang orang tetapi mereka mestilah menguasai beberapa teknik asas kaunseling agar dapat menyampaikan rasa simpati, empati, understanding dan menerima remaja yang mereka bantu. Disamping itu pembimbing tersebut juga perlu tahu bagaimana, di mana, bila dan kepada siapa kliennya hendak dirujukkan. Di sinilah peranan ko-kaunselor, yang pada hakikatnya bertindak bahu-membahu dengan kaunselor pakar.

Kita juga yakin bangsa kita kaya dengan elemen-elemen unggul samada yang terpancar dari sumber agama mahupun sumur budaya. Elemen-elemen ini boleh diteroka dan disintesiskan oleh pakar-pakar tempatan bagi meningkatkan mutu kaunseling negara. Pakar-pakar kaunseling tempatan boleh mengambil pendekatan yang tersendiri berlandaskan ajaran Islam agar mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada klien. Hal ini tidak mustahil ditinjau daripada beberapa aspek. Keberkesanan kaunseling yang banyak berkisar pada hubungan baik sesama manusia misalnya, adalah selaras dengan ajaran Islam yang juga mementingkan hubungan sesama manusia (habluminannas). Firman Allah:

“Akan ditimpakan kehinaan di mana sahaja kamu berada kecuali mereka yang menghubungkan dirinya dengan Allah (habluminallah) dan menghubungkan dirinya dengan manusia (habluminannas).”

No comments:

Post a Comment